Perbarisan Penghargaan PAT dan Reunion 9 RAMD (Para)
MELAKA: Seramai 20 pegawai dan 583 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja Para (9 RAMD Para) terlibat dalam Perbarisan Leading Parachute Battle Group (LPBG) sempena Persaraan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Dr. Hj Zulkifeli Mohd Zain bertempat di Padang Kawad Pasukan 9 RAMD Para pada 27 Okt 2016.
Perbarisan yang julung kalinya diadakan pada waktu malam itu diketuai oleh Pegawai Memerintah 9 RAMD Para, Lt Kol Md Zaini Osman yang bertujuan menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh PAT semasa berkhidmat di dalam ATM dan juga pernah menjadi Pegawai Memerintah 9 RAMD Para.
Acara dimulakan dengan nyayian lagu keramat Pahlawan Sembilan dan pemeriksaan barisan oleh PAT lalu diteruskan dengan Persembahan Tarian Perang 10 Bgd Para serta deklarasi sajak oleh bekas Drum Mejar 9 RAMD Para, PW II Hussin Sujak (Bersara).
Turut hadir Panglima Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD) Mej Jen Dato’ Paduka Tengku Ahmad Noor Tuan Chik, Panglima 3 Div, Mej Jen Hasagaya Abdullah dan Panglima 10 Bgd Para, Brig Jen Tengku Mohammad Fauzi Tengku Ibrahim.