PERBARISAN HUT 9 RAMD (PARA) KE-53 MENGERATKAN SILATURRAHIM
MELAKA: Seramai 17 pegawai dan 315 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pasukan 9 RAMD (Para) terlibat dalam Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) 9 RAMD (Para) yang Ke-53 bertempat di padang kawad pasukan pada 1 Sept 2018.
Perbarisan ini diketuai oleh Penolong Pegawai Memerintah 9 RAMD (Para), Mej Andy Herman Rahimi.
Tema bagi sambutan HUT Ke-53 adalah ‘Silaturrahim Penyambung Legasi’ di mana Pegawai Memerintah menekankan agar warga pasukan menjiwai sejarah pasukan dan menghargai pengorbanan veteran yang terdahulu dalam menempa kejayaan pasukan.
Perbarisan turut mengiktiraf pegawai dan anggota warga Harimau Para yang telah mendapat keputusan cemerlang di dalam kursus serta mengharumkan nama pasukan di pertandingan di peringkat Formasi dan Tentera Darat.
Pegawai Memerintah turut menyampaikan Piala "The Tigers" kepada Kompeni Terbaik bagi tahun 2018 yang dimenangi oleh Kompeni A.
Dalam ucapan Pegawai Memerintah, beliau menyampaikan lima amanat bagi terus mengekalkan kecemerlangan pasukan iaitu meningkatkan profesionalisme, pengukuhan kerohanian dan ilmu keagamaan, kecemerlangan di dalam kursus, bersama memerangi gejala dadah dan mengutamakan kesejahteraan keluarga.
Selain perbarisan HUT, beberapa aktiviti lain turut dilaksanakan iaitu majlis Rewang Korban, Majlis Makan Besar Pasukan, Bacaan Tahlil serta Qiamullail, Hari Keluarga, dan Larian Bendera sembilan Km.
Kesemua aktiviti sambutan HUT ini dirancang bagi meraikan warga pasukan, keluarga dan veteran bagi mengeratkan silaturrahim dan ukhuwah warga Harimau Para.